Mingguan Melaka
     

UNIVERSITI TEKNIKAL KEBANGSAAN MELAKA DI SELANDAR

AYER KEROH : Kerajaan negeri akan menempatkan Universiti Teknikal Kebangsaan Melaka (UTKM) di sebuah kawasan seluas 280 hektar di Selandar dan kampus sementaranya dijangka ditempatkan di Alor Gajah yang akan mula beroperasi pada Jun tahun hadapan.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan telah melantik Ketua Jabatan Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Rudin Abdul Ghani sebagai Naib Canselor Pertama UTKM.

Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata, tanah bagi pembinaan UTKM itu telah diluluskan dan kini sedang diproses di peringkat pentadbiran yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan.

Katanya, pembinaan UTKM yang boleh menempatkan kira-kira 5,000 pelajar pada satu-satu masa akan dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan dan juga Unit Perancangan Ekonomi serta kerajaan persekutuaan.

Beliau memberitahu, UTKM akan memberi tumpuan kepada bidang teknologi dan kejuruteraan termasuk mekanikal, elektronik, elektrikal serta teknologi maklumat serta komunikasi.

Pada laporan Belanjawan 2001 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin pada 27 Oktober lalu, kerajaan pusat telah bersetuju untuk membina empat buah universiti baru yang bernilai RM3.5 bilion di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perlis.

UTKM merupakan universiti ketiga selepas Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) di Lendu, Alor Gajah dan Universiti Multimedia di Bukit Beruang. Seramai 600 pelajar yang merupakan kumpulan pertama akan mengikuti pengajian di kampus sementara UTKM pada Jun tahun depan.

Mohd. Ali berkata, penubuhan UTKM itu akan membolehkan negeri ini melahirkan lebih ramai golongan teknikal yang diperlukan bagi mengisi kekosongan dalam bidang tersebut pada masa yang akan datang.

Katanya, kerajaan negeri berbanyak berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin kerana meletakkan salah sebuah universiti di negeri ini.

Beliau memberitahu, yakin adanya UTKM itu akan menjadi pemangkin bagi melahirkan tenaga pakar dalam bidang teknikal selaras dengan wawasan kerajaan negeri untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri maju menjelang 2010.

 

Mingguan Melaka : 19 Nov - 25 Nov 2000. Issue 21

Copyright 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 21 (19 Nov - 25 Nov 2000)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner