Mingguan Melaka
     

ANAK MELAKA CIPTA NAMA DALAM MALAYSIA BOOK OF RECORDS

BANDAR MELAKA : Setalah berjaya mencipta nama dalam Malaysia Book of Record sebagai anak Malaysia pertama membawa lanca dengan berjalan kaki mengelilingi Semenanjung Malaysia, kini bekas tentera, Sitdek Ahmad Ali, 42, bercadang pula untuk membawa lancanya itu dengan cara demikian dari Melaka ke China pada 2002.

Begitulah azam yang tersemat di hati anak kelahiran Kampung Bachang di sini demi menyahur cabaran "Malaysia Boleh" di samping membuktikan kemampuan rakyat Malaysia untuk mencipta nama.

Sitdek yang kini menetap di Felda Palong Empat, Gemas, Negeri Sembilan tidak pernah merasakan usaha yang dilakukan itu sia-sia malah berbangga sebagai rakyat Malaysia mampu melakukan sesuatu demi mengharumkan nama negara di mata dunia.

Beliau yang memulakan perjalanannya sejak 1 Oktober lepas di Bandar Hilir di sini yang dilepaskan oleh Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd Ali Rustam selamat tiba semula Jumaat lepas.

Bermula dari sini, Sitdek memulakan cabarannya ke Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan kembali semula ke negeri ini.

Bekas pelajar Sekolah Ghafar Baba itu pernah menarik trekca dari Felda Palong Empat ke Banda Hilir yang mengambil masa selama 23 jam pada Ogos tahun lalu selepas berjaya berjalan kaki sejauh 90 kilometer.

Beliau yang menyifatkan usahanya itu bukan untuk menarik perhatian atau simpati mana-mana pihak tetapi lebih kepada mempromosikan Melaka sebagai "Di Mana Segalanya Bermula".

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Merlimau, Nazari Adzim yang juga merupakan pendorong semangat kepada Sitdek menganggap usaha yang dilakukan itu membuktikan semangat jatidiri yang tulen.

Beliau berkata, rancangan Sitdek untuk berjalan dengan trekchnya ke China bukanlah khayalan tetapi merupakan semangat kental yang ditonjolkan dan seharusnya mendapat sokongan padu rakyat di negara ini.

"Saya akan berusaha untuk mendapatkan tajaan bagi Sitdek untuk mencapai cita-citanya itu di samping sokongan kerajaan negeri dalam menjayakan usaha murni ini," katanya.

Perjalanan Sitdek mengelilingi negara dengan trekchnya itu ditaja oleh kerajaan negeri, TimeNet Telecommunication dan seorang penyanyi dangdut tempatan, Shahadah.

 

Mingguan Melaka : 19 Nov - 25 Nov 2000. Issue 21

Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 21 (19 Nov - 25 Nov 2000)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner