MELAKA DIMINATI RATUSAN PELANCONG MENJELANG CUTI SEKOLAH BANDA HILIR: Tempat-tempat pelancongan dan sejarah negeri ini terus dibanjiri ratusan pengunjung yang terdiri dari para pelajar dan pelancong yang mengambil kesempatan sempena cuti persekolahan yang baru bermula. Para pengungjung yang kebanyakkannya terdiri dari para pelajar mengambil peluang ini untuk mendekati dan mendalami pelajaran sejarah yang banyak menceritakan sejarah awal negeri ini selain bersiar-siar. Pelancong dari dalam dan luar negara juga tidak melepaskan peluang untuk sama-sama melihat sendiri keindahan dan tinggalan sejarah yang masih terpelihara di negeri ini. Nick Blueton, 54 dari England memberitahu ini adalah lawatan kali pertamanya ke negeri ini walaupun telah ke negara ini beberapa kali atas urusan kerja. Menurut Nick maklumat berkaitan negeri ini dan beberapa negeri lain di negara ini diperolehi semasa kunjungannya itu membolehkan dia merancang percutiannya ke negara ini dengan lebih terancang. "Saya akan berada di negara ini selama empat hari bersama isteri jadi hari pertama saya adalah di negeri ini kerana ingin menghabiskan lebih masa di negeri ini," katanya. Seorang pelancong dari London Ann Blume, 40 berkata dia gembira melawat negeri ini kerana selain kerana banyak tempat yang boleh dilawati lawatan itu juga membolehkannya belajar tentang budaya masyarakat luar. Katanya, walaupun makanan di sini agak pedas tetapi ia agak sedap dan lain daripada masakan yang pernah dimakannya sebelum ini. Seorang pelajar dari SK Kroh Pengkalan Hulu, Perak, Chulaphorn Chat berkata dia gembira dapat melawat negeri yang bersejarah ini kerana sebelum ini maklumat mengenai negeri ini hanya dibaca di dalam buku sejarah atau geografi sahaja. Menurut Chulaphorn walaupun lawatannya agak singkat kerana faktor masa tetapi dia berharap agar dapat mengunjungi negeri ini sekali lagi pada masa hadapan. Guru Kanan SJK(C) Chung Ha Grik, Perak Phuah Siew Kong pula berpendapat para pelajar perlu didedahkan dengan aktiviti-aktiviti luar bilik darjah agar minda mereka dapat berkembang dengan pesat. "Lawatan seperti ini juga merupakan satu teknik pembelajaran yang berkesan kerana seseorang pelajar akan lebih mudah menyimpan maklumat yang dipelajari sekiranya dapat melihat sendiri apa yang dipelajarinya di sekolah," jelas beliau. Ooi Chee
Hoi murid tahun enam sekolah yang sama berkata dia dan
rakan-rakannya gembira dapat melawat negeri yang indah
dan bersejarah ini.
Mingguan Melaka : 19 Nov - 25 Nov 2000. Issue 21 Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 21 (19 Nov - 25 Nov 2000) |
||