Mingguan Melaka
     

PESTA LAYANG-LAYANG TARIKAN PANTAI PUTERI

TANJUNG KLING : Kira-kira 2,000 orang termasuk pelancong dalam mahupun luar negara mengunjungi Pantai Puteri di sini untuk menyaksikan Pesta Layang-Layang, yang dianjurkan oleh Persatuan Rakan Layang-Layang Melaka (PRLLM) dengan kerjasama Motel Tanjung Puteri.

Pengerusi Pesta Layang-Layang, Tan Chong Hong berkata, pesta itu telah berjaya menarik beberapa pasukan dari luar Melaka untuk menyertai antaranya Pasukan Layang-Layang Johor Bahru, Muar dan Klang.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Tangga Batu, Yaakub Md. Amin merasmikan pesta itu dan mahukan aktiviti sukan rakyat itu dihidupkan semula supaya tidak dilupakan.

Beliau berkata, permainan layang-layang di alaf baru ini memperlihatkan aktiviti itu semakin kurang mendapat perhatian di hati masyarakat terutama golongan remaja yang menganggap permainan itu membosankan.

"Sekarang ini permainan layang-layang tidak sehebat di masa lalu...ianya diadakan atau dapat disaksikan pada sesuatu musim atau perayaan termasuk di kawasan luar bandar," katanya.

Yaakub berharap, pihak-pihak tertentu seperti persatuan layang-layang dapat memainkan peranan untuk menghidupkan kembali permainan rakyat itu supaya tidak hilang ditelan zaman.

Sementara itu seorang pemain layang-layang veteran, Chong Chin Hwa, 73, berkata permainan layang-layang patut diterokai oleh golongan remaja kerana ianya hobi yang baik serta menyeronokkan.

"Layang-layang kini menjadi permainan yang bercorak komersial, harganya boleh mencapai sehingga RM2,000... peminat layang-layang sanggup membeli layang-layang yang kini di dalam pelbagai bentuk yang menarik," katanya.

 

Mingguan Melaka : 19 Nov - 25 Nov 2000. Issue 21

Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 21 (19 Nov - 25 Nov 2000)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner