SUNGAI LINGGI PINTU MASUK PELABUHAN 'BARTER TRADE' BANDAR MELAKA : Semua urusniaga tukaran barangan (barter trade) di negeri ini akan dipindahkan sepenuhnya ke pelabuhan Sungai Linggi bertujuan memperkemaskan sistem pelabuhan jenis itu selain bagi menggalakkan urusniaga berkenaan. Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kuala Linggi, Datuk Ibrahim Durum berkata pelabuhan tersebut pada dasarnya telahpun diluluskan dan dijangka beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi. Menurutnya, pada masa ini urusniaga tukaran barangan yang aktif adalah di antara Malaysia dan Sumatera (Indonesia) bagi barangan seperti kayu balak, ikan, sayur-sayuran dan arang yang ditukar dengan gula, garam, tepung dan susu. Beliau berkata negara lain yang setakat ini juga terlibat dalam urusniaga tukaran barangan itu adalah Thailand dan orang awam atau pemilik tanah boleh mengemukan permohonan bagi menyertai urusniaga di pelabuhan tersebut. "Urusniaga tukar barangan ini perlu diperkembangkan kerana selain ia dapat membantu dari segi peningkatan ekonomi ia juga membolehkan urusniaga dengan negara luar tanpa perlu melibatkan wang," katanya kepada Mingguan Melaka. Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri juga berharap agar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang aktif menjalankan aktiviti mendaratkan ikan di pelabuhan itu turut memohon menjadikan pelabuhan tersebut sebagai pusat pendaratan ikan di negeri ini. Beliau berkata, semua aktiviti tukaran barangan di Sungai Melaka juga bakal dipindahkan ke pelabuhan tersebut secara berperingkat-peringkat supaya ia lebih teratur dan sistematik. Menurutnya, usaha itu diharap dapat menarik perhatian para peniaga dari dalam dan luar negara selain memberi peluang kepada negeri ini untuk meningkatkan taraf ekonominya. Ibrahim
menjangkakan kewujudan pelabuhan itu bakal memberi
alternatif kepada perniagaan sampingan lain yang
berkaitan untuk turut beroperasi seperti kedai makan dan
kilang pemprosesan di kawasan berkenaan.
Mingguan Melaka : 19 Nov - 25 Nov 2000. Issue 21 Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 21 (19 Nov - 25 Nov 2000) |
||