GALA SERI BANDAR 2000 AIR LELEH : Pelbagai aktiviti dan program menarik dianjurkan sempena Gala Seri Bandar 2000 yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu lepas di Sekolah Kebangsaan Seri Bandar di sini. Ketua Menteri Datuk Wira Mohd Ali Rustam berkata aktiviti tersebut diharap dapat mendekatkan hubungan antara guru, murid dan ibubapa melalui program yang dianjurkan mengisi tabung kebajikan bagi membeli kelengkapan komputer sekolah. Beliau berkata, para pelajar adalah golongan yang perlu diberi perhatian, pendidikan dan nasihat bukan hanya berbentuk akademik tetapi juga maklumat semasa. Menurutnya, peranan ibubapa dan guru serta gandingan usaha keduanya dapat memastikan para pelajar membesar dalam situasi yang seimbang dan sihat seperti mana yang dikehendaki oleh negara. "Melalui aktiviti sebegini ibu bapa, guru dan pelajar dapat bersama, bekerjasama dan berhubung secara terus...aktiviti sebegini dapat menanamkan sifat tolong-menolong, jujur serta dan ikhlas," katanya. Mohd Ali berkata demikian di majlis perasmian Gala Seri Bandar 2000. Teks ucapannya dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mo'min Abd Aziz. Antara
aktiviti yang diadakan pada hari itu termasuk aktiviti
sukan tahunan, perkhemahan badan beruniform, gerai jualan
dan pameran yang disertai oleh pelbagai agensi kerajaan
dan swasta.
Mingguan Melaka : 12 Nov - 18 Nov 2000. Issue 20 Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 20 (12 Nov - 18 Nov 2000) |
||