MAKAM RAJA HAJI FISABILIALLAH (1730AN - 1784)DI MELAKA DAN RIAU YANG Dipertuan Muda Riau keempat, Raja Haji juga dikenali sebagai Engku Kelana, Pangeran Suta Kelana, Pangeran Suta Wijaya merupakan anak Daeng Celak, Yang Dipertuan Muda Riau kedua. Beliau adalah seorang pahlawan yang disegani, dihormati dan terkenal di Nusantara. Pernah menawan Jambi, Indragiri, Kedah dan Perak serta amat berpengaruh di Johor, Selangor dan Riau. Raja Haji dan Belanda mempunyai hubungan baik sehingga tahun 1782. Pada tahun itu, Belanda tidak menunaikan janjinya untuk berkongsi hasil jualan dan rampasan harta dari sebuah kapal Inggeris sepertimana yang dipersetujui. Raja Haji bertindak balas dan mula mengatur serangan di sekitar Selat Melaka. Belanda bersama 1,504 askar dengan 13 buah kapal cuba menyerang Raja Haji di Riau tetapi menemui kegagalan. Raja Haji seterusnya melancarkan serangan balas terhadap Belanda. Beliau dan angkatannya berjaya mendarat di Teluk Ketapang, Melaka dan menyerang Kota Melaka hampir pada setiap hari. Pada tahun 1784, angkatan laut Belanda dengan enam buah kapal dan 2,130 askar dan 326 pucuk meriam tiba di Teluk Ketapang pada waktu malam. Seramai 734 askar berjaya mendarat secara senyap dan pada waktu subuh, Kapten Belanda membedil kapal-kapal Raja Haji dan satu peperangan sengit berlaku. Ramai askar gugur. Walau pun dirayu oleh pengikut Raja Haji agar berundur, namun beliau masih berdiri teguh memegang pedang ditangan kanan dan kitab Al-Quran di tangan kirinya bagi meneruskan serangan. Beliau akhirnya ditembak mati oleh askar Belanda pada 18 Jun 1784 di Teluk Ketapang dan jenazahnya dikebumikan di kaki Bukit St Paul. Pada akhir abad ke-18, pemerintah British di Melaka mengizinkan jenazahnya dibawa ke Riau dan dikebumikan semula di Pulau Penyengat, Riau. Pengurus Besar Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Mohd Jamil Mukmin baru-baru ini bersama Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) telah membuat lawatan ke makam Raja Haji Fisabiliallah di Riau sempena Pertemuan Alam dan Pemikiran Melayu Sedunia di Pulau Batam, Riau, Indonesia. Beliau berkata, makam tersebut masih dijaga dengan rapi oleh penduduk tempatan. Menurutnya, memandangkan Melaka mempunyai kaitan dengan Raja Haji, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri mengambil inisiatif membina sebuah tugu peringatan di Teluk Ketapang untuk memperingati peristiwa bersejarah itu. Mohd Jamil
berkata, tugu itu boleh dijadikan tempat lawatan
pelancong luar terutama dari Riau dan para penyelidik
bagi tujuan membuat kajian.
Mingguan Melaka : 12 Nov - 18 Nov 2000. Issue 20 Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 20 (12 Nov - 18 Nov 2000) |
||