PLAK TINGGALAN SEJARAH DICURI BANDAR HILIR : Sebuah plak yang diperbuat daripada tembaga asli yang mempunyai nilai sejarah sejak zaman British didapati hilang dan dipercayai dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Abdul Karim Abdul Wahab berkata pihaknya menyedari plak yang terletak di tembok bangunan Stadhuys tersebut dicuri pada Isnin lepas dan laporan polis telah dibuat berkenaan kecurian itu. Beliau berkata, dipercayai kejadian itu dilakukan pada malam Ahad lepas bagaimanapun pihaknya masih menunggu maklumat lanjut dari pihak polis. Menurutnya, plak itu dibuat pada zaman British bagi menghargai jasa tentera sukarela British dari Batalion Ke-4 yang terkorban semasa berperang dengan tentera Jepun. "Plak tersebut sangat berharga kerana selain dibuat dari tembaga asli ia juga merupakan plak asal yang mampunyai kesan tinggalan sejarah yang dilindungi," katanya kepada Mingguan Melaka. Abdul Karim berkata, plak itu juga menyenaraikan sebanyak 100 nama tentera sukarela negeri ini yang terkorban semasa menentang tentera Jepun terdiri dari pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan British. Menurutnya,
Perzim akan mengantikan plak tersebut bagaimanapun beliau
melahirkan rasa kesalnya terhadap kejadian itu. Mingguan Melaka : 12 Nov - 18 Nov 2000. Issue 20 Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 20 (12 Nov - 18 Nov 2000) |
||