SONGKOK KEMBALI DIMINATI PADA BULAN PERAYAAN BANDAR MELAKA : Setiap kali Aidilfitri menjelma, songkok kembali menjadi tumpuan untuk digayakan bersama baju Melayu sebagai kelengkapan berpakaian di pagi hari raya supaya kelihatan segak dan bergaya. Memakai songkok atau kopiah walaupun bukannya wajib tetapi ia telah menjadi seakan suatu kemestian kepada kaum lelaki Islam di negara ini terutama apabila menghadiri aktiviti yang bersifat keagamaan. Sekarang, pelbagai jenis songkok dibuat berdasarkan pelbagai fesyen, warna, jenis dan rekaan boleh didapati dengan harga serendah RM10 di pasaran. Seorang pembuat songkok, Zainal Abidin, 70, berkata beliau mula membuat songkok sejak berumur 10 tahun dan sehingga kini pekerjaan tersebut telah menjadi sebati dengan jiwanya dan diwarisi oleh anak-anaknya. Beliau berkata, membuat songkok tidaklah begitu sukar tetapi minat, kesungguhan dan kreativiti diperlukan bagi memastikan hasil yang baik serta menepati cita rasa pelanggan. Menurutnya, apa yang diperlukan untuk membuat songkok adalah mesin jahit, kain baldu, benang dan idea serta kecekapan menggunakan mesin bagi menghasilkan produk atau rekaan yang berseni. Zainal berkata suatu masa dahulu beliau mampu menghasilkan sehingga lapan pasang songkok sehari tetapi kini disebabkan uianya yang makin meningkat sekadar menghasilkan tiga atau empat pasang sehari. "Sekarang ini sudah ada bermacam jenis songkok dan kopiah jadi ada kalanya tempahan pelanggan juga agak kurang...sekarang saya hanya buat kalau ada orang tempah," katanya kepada Mingguan Melaka. Zainal berkata, isteri serta cucunya juga terlibat membantu beliau menjual dan mengambil tempahan songkok yang dibuat selain barangan lain yang turut diniagakan dikedainya di Kampung Jawa di sini. Beliau juga berharap ssupaya kemahiran membuat songkok itu akan dapat diwarisi oleh keturunannya supaya kesenian tersebut tidak hilang begitu sahaja. Bainun Agus, 54 isteri beliau berkata sambutan atau tempahan membuat songkok agak menggalakkan apabila tiba bulan Ramadhan atau Syawal kerana masyarakat kita masih lagi mengganggap songkok sebagai satu keperluan. Sejak mula
berniaga sejak 1989 lepas sambutan yang diterima agak
menggalakkan walaupun terdapat banyak persaingan dari
penjual lain.
Mingguan Melaka : 10 Dec - 16 Dec 2000. Issue 24 Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 24 (10 Dec - 16 Dec 2000) |
||