Mingguan Melaka
     

KETUK-KETUK : AKTIVITI MEMBANGUNKAN PENDUDUK BERSAHUR

BUKIT PIATU : Tahukah anda dengan aktiviti ketuk-ketuk? Mungkin ianya agak ganjil dan asing bagi anda tetapi penduduk di sekitar Bukit Piatu, kehadiran Ramadan pastinya diiringi aktiviti itu terutama menjelang awal pagi.

Ketuk-ketuk atau juga dikenali "panggilan sahur" merupakan aktiviti bagi golongan remaja untuk membangunkan penduduk di sekitar kampung berkenaan untuk bersahur.

Sememangnya setiap tahun akan wujud kumpulan ketuk-ketuk dan penduduk di sekitar Kampung Bukit Piatu sudah begitu lazim dengan keadaan itu di sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak.

Tinjauan Mingguan Melaka mendapati, aktiviti itu bukan sahaja dapat mengejutkan penduduk untuk bersahur tetapi menjadi benteng kepada kegiatan pecah rumah mahupun jenayah di kampung berkenaan.

Ketua pasukan ketuk-ketuk Kampungku Sayang Bukit Piatu, Helmy Hardy berkata pasukan itu diwujudkan di atas kerelaan hati serta rasa tanggungjawab kalangan remaja setelah menyedari kegiatan itu amat baik di samping amalan mulia terhadap penduduk kampung sendiri.

Beliau berkata, pasukan itu disertai kira-kira 20 orang remaja dan ianya diadakan secara sukarela dengan menjalankan aktiviti itu antara jam 3.30 hingga 5 pagi mulai dari awal hingga ke akhir bulan Ramadan.

"Sebelum ini, aktiviti itu dijalankan oleh golongan dewasa dan tua bagaimanapun pada tahun ini bertepatan dengan cuti sekolah membolehkan golongan remaja mengambil alih aktiviti berkenaan," katanya.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab bagi genarasi muda untuk mewarisi adat atau budaya masyarakat lama untuk dipelihara dan diteruskan selaki ianya mendatangkan kebaikan kepada semua masyarakat.

Kumpulan ketuk-ketuk itu menggunakan alat-alat muzik seperti tambo, kompang, rebana, gitar, botol dan tin berjaya menghidupkan suasana di malam bulan Ramadan dengan menyanyikan lagu-lagu nasyid lama dan baru.

Ahli kumpulan berkenaan, Mohd Zaidi Harun berkata pembabitan golongan remaja dalan aktiviti itu dapat mengelakkan mereka terjebak dengan gejala tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah atau lepak.

Bagi Harmizi Hassan pula, remaja sebenarnya ingin berbakti, tetapi malangnya tidak ada sesiapa yang sudi menunjukkan jalannya sehingga merek aterpaksa mencari jalan sendiri sehingga terjebak dengan aktiviti tidak sihat.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Piatu, Ali Hadi berkata pihaknya sentiasa memberikan sokongan terhadap apa juga aktiviti yang berfaedah yang dilakukan oleh golongan remaja.

Apa yang menarik ialah para penduduk juga memberikan hidangan kepada kumpulan itu mengikut giliran bagi membolehkan mereka turut bersahur.


Mingguan Melaka : 10 Dec - 16 Dec 2000. Issue 24

Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 24 (10 Dec - 16 Dec 2000)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner