BEKALAN ELEKTRIK : TNB JAMIN TIADA GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK BANDAR MELAKA : Penduduk di negeri ini tidak perlu bimbang menjelang perayaan Aidilfitri berikutan jaminan dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) bahawa tidak akan berlaku gangguan bekalan elektrik. Pengurus Bisnes TNB daerah Melaka Tengah, Idris Haron berkata, gangguan mungkin timbul disebabkan malapetaka yang tidak dijangka seperti ribut taufan, banjir atau tanah runtuh. "Walau bagaimanapun, TNB punyai pasukan 'tunggu sedia' sepanjang masa yang diketuai oleh Jurutera tunggu sedia dan bertugas 24 jam yang sentiasa bersedia menangani sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik," katanya kepada Mingguan Melaka di sini. Menurutnya, TNB sentiasa mengambil tindakan pro-aktif supaya bekalan elektrik sentiasa dapat dibekalkan kepada pelanggannya terutama sepanjang musim perayaan. Sementara itu, Idris berkata, jika orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lampu awam jalan yang tidak berfungsi diminta menghubungi bahagian aduan TNB dengan memaklumkan lokasinya supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan. "Orang ramai boleh hubungi TNB melalui talian aduan supaya suasana perayaan lebih ceria dengan lampu-lampu awam yang sentiasa menyala dan mencerahkan negeri ini," katanya. Beliau berkata, TNB mempunyai lima pasukan peronda yang menjalankan rondaan di sekitar daerah Melaka Tengah untuk memastikan lampu-lampu awam berfungsi dan jika didapati sebaliknya tindakan pantas akan dilakukan segera. Bagi kawasan yang belum mempunyai lampu awam, menurutnya TNBakan memasang lampu-lampu berkenaan selewat-lewatnya sebelum hari raya. "Saya harap pengguna atau Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang telah mohon pastikan borang permohonan telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan atau majlis daerah dan perlu menghubungi TNB bagi pemasangan berkenaan," katanya. Sebarang gangguan bekalan elektrik pengguna boleh menghubungi : Pusat Pengurusan Panggilan TNB telefon : 15454 (Aduan).
Mingguan Melaka : 10 Dec - 16 Dec 2000. Issue 24 Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 24 (10 Dec - 16 Dec 2000) |
||