Mingguan Melaka
     

MISI PEMBANGUNAN DITERUSKAN

BUKIT BERUANG: Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd Ali Rustam berkata beliau akan meneruskan misi pembangunan Melaka untuk menjadikannya sebagai pusat perindustrian dan destinasi pelancongan terunggul melalui penyediaan infrastruktur yang terbaik.

Beliau berkata, penyediaan infrastruktur itu meliputi teknologi informasi, perkhidmatan cekap dan berkualiti serta peningkatan pembangunan insan untuk menjamin kesejahteraan dan kesempurnaan hidup rakyat menjelang 2010.

"Sebagai sebuah negeri yang mempunyai sumber asli terhad, kerajaan akan menjadikan industri pelancongan sebagai sumber ekonomi baru kepada Melaka," katanya ketika berucap di majlis angkat sumpah Yang Dipertua Negeri, Tun Syed Ahmad Shahabuddin bagi penggal ke lima di Istana Melaka di sini.

Mohd Ali berkata, bagi memastikan industri itu mencapai sasarannya, kerajaan telah menjalankan beberapa strategi dan pendekatan drastik bertujuan mempromosikannya sebagai destinasi pelancongan.

Menurutnya, pada tahun ini kerajaan negeri telah melaksanakan program promosi pelancongan membabitkan beberapa negeri dan luar negara iaitu di Kuala Lumpur, Singapura, Pulau Pinang, Pekan Baru, Jiangzu, Taiwan dan London.

Beliau berkata, usaha-usaha penggalakkan pelancongan itu telah memberikan hasil yang menggalakkan dan suntikan kepada industri perhotelan melalui tempahan tempat penginapan.

"Ini sekaligus memberi manfaat kepada rakyat melalui aktiviti perniagaan, kraftangan, restoran dan sebagainya," katanya.

Mohd Ali berkata, tempat-tempat pelancongan seperti Taman Mini Malaysia dan Mini Asean, Tanjung Bidara Beach Resort, Samudera Resort, Pulau Upeh dan Air Panas di Gadek akan dipulihkan untuk menjadi produk pelancongan.

Beliau berkata, selain pelancongan, kerajaan negeri turut prihatin terhadap tahap kebersihan dan usaha telah dilakukan melalui program penghijauan bandar Melaka dan penguatkuasaan denda terhadap kesalahan membuang sampah.

Menurutnya, kebajikan rakyat turut berikan perhatian terutama di bidang pendidikan melalui pembinaan Universiti Teknikal Kebangsaan Melaka (UTKM) di Durian Tunggal yang bakal memulakan pengambilan penuntutnya untuk sessi pertama pada Jun 2001.

Mohd Ali menambah, dalam memastikan Melaka terus maju, kerajaan terus memantau kakitangannya agar sentiasa menjalankan tugas dengan bersih, cekap, amanah dan dedikasi.


Mingguan Melaka : 10 Dec - 16 Dec 2000. Issue 24

Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 24 (10 Dec - 16 Dec 2000)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner